Pages

Putaran yang pasti


Untuk post kali ini, saya mulakan dengan satu kisah pendek yang mungkin antara kita berpengalaman berada dalam situasi sebegini.



Masuk ke tahun yang baru. Kampung Mulut Cabai seperti biasa akan buat majlis perlantikan ketua kampung baru dan juga selaku pengerusi rukun tetangga bagi sesi tahun tersebut.

Pengerusi majlis, Haji Lazim, mengumumkan dua calon yang akan bertanding, Pak Samad dan Pak Kasim. Pak Samad dipilih kerana beliau mempunyai kedai runcit yang menjadi nadi makanan penduduk kampung. Manakala Pak Kasim mempunyai tanah yang paling banyak di Kampung Mulut Cabai.

Sebaik sahaja Haji Lazim mengumumkan nama-nama calon. Dengan tidak semena-menanya Pak Samad bangun dan berteriak "kenapa kita perlu ada calon seperti si Kasim ni? Dia dah lah pernah jual tanah kampung kita kat orang cina kampung sebelah! Boleh ke kita bagi pucuk pimpinan kat orang macam ini, yang sanggup menggadaikan tanah kampung kita hanya untuk isi perut sendiri je!"

"Aik? Apahal ni? Apahal tiba petik nama aku pulak ni?" Pak Kasim memang tak dapat tahan "sape kata aku jual kat cina tu?! Aku kasi dia sementara je untuk dia usahakan tanah kampung. Yang kau tu cakap orang lebih, anak aku kerja kat kedai runcit kau tu empat bulan tak dapat gaji cerita apa pulak?! tu la kau, tau dapat duit beli rokok aje!"

Pak Samad mula bangun dengan muka merah berang "kau cakap biar sopan, kau jangan dengar cerita kat tepi-tepi jalan, cakap biar berasas! ada yang makan capal aku pulak kejap lagi ni..."

Masyarakat kampung tergamam melihat perangai dua kepala kampung ni yang selama ni nampak sangat berwibawa. Tapi kali ni di sebabkan nak jadi ketua punya pasal, keluar habis isi-isi hati yang busuk yang selama ini disembunyikan.

"Cukup cukup! siapa yang ajar kamu berdua mengata-ngata orang lain? Apa hak kita membuka aib orang lain, walhal kita yang banyak keaiban orang lain tolong tutupkan?" seperti biasa, Haji Lazim adalah adalah penyelesai kepada setiap masalah penduduk kampung.

"Jadi sekarang hadirin sekalian, kita nak teruskan perlantikan macam mana? nak lantik siapa?"

Semua pendudukan Kampung Mulut Cabai bersepakat melantik Haji Lazim sendiri sebagai ketua mereka kerana keikhlasan dan kebijaksanaan beliau terhadap penduduk kampung.

.   .   .   .   .



Begitulah sebenarnya yang berlaku pada hari ini, wujudnya orang yang berebut nak jadi ketua kita. Tak pelik ke? Lainnya cuma mereka hari ini memakai kot dan tie sebagai pernghias diri. 

Mereka bercakaran semata untuk kita menyebelahi mereka. Mereka mengada-adakan cerita semata untuk kita simpati terhadapnya. Mereka menzalimi semata untuk tetap di atas takhta. Mereka menjadikan rakyat sebagai tunggangan mereka untuk capai matlamat.

Baik yang bawah kerana mereka tak pernah rasa berada di atas sana. Hmm... bila tangga sudah habis didaki, rasanya sama je dia pun.

Seperti dalam kisah di atas, akhirnya Allah s.w.t akan menjelaskan yang kelabu sehingga ternyata yang mana hitam dan yang mana putih. Mereka yang ikhlas memperjuangkan agama Allah di atas muka bumi ini lah yang akan mewarisi bumi ini.
"Sesungguhnya kemenangan adalah untuk orang-orang yang ikhlas" Hadith

Muhasabah



“Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisabkan” Umar Al-Khattab

Masa terus berlalu meninggalkan kita perbagai  kisah menarik di institusi islam ini. Bermula dari awal tahun hingga ke saat ini, sudah pelbagai kenikmatan telah kita kecapi dan sudah pelbagai cabaran kita tempuhi. Satu persoalan yang semua dari kita harus menjawabnya, 

Adakah tempoh ini telah meningkatkan nilai diri kita? 

Sudah terbinakah iman dan ukhuwwah antara kita?

Seperti  kisah bapa para nabi Ibrahim ‘alayhi salam, apabila diperintah Allah s.w.t untuk membina Kaabah bersama anaknya, Ismail ‘alayhi salam. Setelah siap beberapa bahagian bangunan, baginda ‘alayhi salam pergi ke kawasan yang lebih tinggi dan memerhati apa yang telah baginda dan puteranya bina. Begitu jua kita, kita dituntut untuk menilai kembali setiap pekerjaan yang kita lakukan. Jauhkan diri kita dari menyebelahi diri sendiri, tetapi neraca setiap pergerakkan kita bertepatan dengan perintah Allah, pencipta diri kita itu sendiri.

Sudah berlalu 3 bulan berlalu. Harus kita koreksi 2 perkara yang sangat penting yang menjadi kekuatan kita iaitu iman dan ukhuwwah. Setinggi mana kita telah binanya, sebulat mana kita telah bentuknya.

Iman adalah mutiara yang dikurniaan Allah. Yang sinarnya menjadi pencerah kepada seluruh tubuh untuk mengerjakan amal kebaikan. Adakah kita sudah menggilapkannya dengan memperbanyakkan zikrullah dan amalan sunnah atau kita membiarkannya terus menjadi keruh hingga tiada beza antara yang dikurniakan dan tidak dikurniakan.

Ukhuwwah adalah ikatan yang kuat yang mengikat antara hati orang-orang beriman. Ia tidak mengikat pemilik-pemiliknya secara lahiriah. Tetapi ia adalah pengikat di kala doa sahabatnya di malam hari, sebagai penarik di kala sahabatnya terjatuh ke lembah kelalaian. Menasihati saudaranya sebagaimana dia ingin dinasihati saudaranya. Itu lah nilai ukhuwwah yang harus kita miliki, yang haru kita berusaha mendapatkannya.

Wallahu a’lam